Sunday, August 15, 2010

LGE: TIDAK ADIL UNTUK SALAHKAN ISLAM

Ketua Menteri Lim Guan Eng mempertahankan sumbangan Islam sambil menggesa Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek perlu mempelajari tentang ketamadunan Islam.

Sehubungan itu Lim berkata Dr Chua sedang cuba untuk mengalihkan tumpuan daripada masalah akar umbi sebenar, yang dilihat ditujukan kepada Umno selaku komponen utama Barisan Nasional (BN).

“Jangan salahkan Islam, saya berpendapat ia tidak adil,” kata beliau pada sidang media di sini hari ini.

Sebaliknya menurut Lim, Dr Chua sewajarnya mengemukakan persoalan-persoalan yang serius seperti perjudian sukan dan kalimah Allah kepada Umno.

Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut menghadiri sidang media itu bersetuju dengan Lim yang juga Setiausaha Agung DAP.


Anwar berkata, Dr Chua dengan jelas memperlihatkan keangkuhan dan kejahiannya ekoran kenyataan beliau semalam.

“Pada pemikiran saya, dia seorang pemimpin yang tidak boleh diterima dalam pakatan (seperti BN),” kata beliau sambil menambah, pemimpin-pemimpin yang ingin menyelamatkan negara harus berusaha untuk memperluaskan pengetahun mereka tentang agama-agama yang lain.

Oleh itu kata beliau, adalah penting bagi bukan Islam memahami sumbangan masyarakat Islam dan begitu juga sebaliknya.

Lim berkata Dr Chua perlu memahami bahawa ketamadunan Islam bukan semata-mata terletak pada aspek kuasa empayar, tetapi juga dapat dilihat dalam bentuk keagungan kesenian, pembelajaran, astonomi dan algebra.

“Negara-negara Islam berhadapan dengan masalah yang sama pernah dialami oleh China dan India sebelum ini,” katanya ketika berucap pada Persidangan Antarabangsa Integriti Khalifah Umar Abdul Aziz di sini hari ini.

“Hanya apabila India dan China bebas, merdeka dan tidak didominasikan oleh kuasa penjajah, mereka berupaya untuk sedar potensi mereka dan membawa keagungan mereka ke persada dunia,” katanya.

Dalam kenyataan semalam, Dr Chua membidas Umno dan PAS kerana menggunakan agama untuk bersaing mendapatkan sokongan orang Melayu.

Malah beliau mendakwa Malaysia juga kini terperangkap sebagai negara “berpendapatan tengah” lebih 10 tahun.

Bekas menteri kesihatan itu berkata persaingan antara kedua-dua parti Melayu Islam itu telah membawa negara ke arah “dasar-dasar yang tidak progresif.”

Dr Chua memberitahu MCA juga mendapati Umno menjadi semakin konservatif sejak kebelakangan ini.

Umno-BN kehilangan kerajaan lima negeri pada pilihan raya umum ke-12 dua tahun lalu.

Posted by admin on August 7th, 2010

Saturday, April 24, 2010

Pulau Pinang Serambi Mekah di bawah Lim Guan Eng

Oleh W.Fauzdin NS-tko

 Pulau Pinang secara tradisinya memang diperintah oleh pemimpin Cina sejak dahulu lagi dan ianya begitu lama di bawah Parti Gerakan.

Selepas Pilihanraya Umum ke 12 yang lalu, tradisi ini berterusan di mana pemimpin kaum Cina terus memimpin P.Pinang cuma bezanya pemimpin ini bukan dari parti komponen BN.

Parti DAP yang telah lama bertapak di P.Pinang akhirnya berjaya merampas kerusi Ketua Menteri P.Pinang dari Parti Gerakan di bawah pimpinan Koh Tsu Koon. Lim Guan Eng yang dikenali sebagai pejuang rakyat tidak mengira bangsa dan agama diberi kepercayaan oleh rakyat P.Pinang untuk menerajui kerajaan Negeri P.Pinang.

Tampuk pemerintahan negeri di bawah Lim Guan Eng sememangnya dialu-alukan oleh rakyat pelbagai kaum di Pulau Mutiara itu. Kecuali UMNO, majoriti rakyat di P.Pinang termasuk dari MCA, Gerakan dan juga parti di dalam gabungan Pakatan Rakyat percaya dan yakin Lim Guan Eng mampu memberi perubahan besar kepada rakyat di P.Pinang.


Apabila Lim Guan Eng mula merangka dasar dan arah tuju pentadbiran di P.Pinang, UMNO tidak berhenti-henti cuba mengelirukan masyarakat khususnya Melayu di P.Pinang dengan menjaja pelbagai cerita dan tuduhan untuk memburukkan imej Lim Guan Eng. Kini, UMNO cuba untuk menjadi hero Melayu Di P.Pinang setelah sekian lama menjadi `budak suruhan' dan Pak Turut di bawah pemerintahan Gerakan sebelum ini.


Lim Guan Eng seorang pemimpin muda yang berwawasan dan mempunyai nilai keperibadian yang baik cuba mengguna pakai kaedah pemerintahan yang bersih serta telus dengan menjadikan pemerintahan Umar Abdul Aziz sebagai model dan idolanya. Tidak hairanlah beliau sering kali menyeru masyarakat P.Pinang agar merealisasikan konsep `Amar Makruf Nahi Mungkar'.


Slogan ini bukan retorik semata-mata kerana beliau kini telah mula sedikit demi sedikit berusaha melaksanakannya. Pencapaian beliau semenjak mula menduduki kerusi Ketua Menteri P.Pinang amat menakjubkan dan dilihat lebih ke hadapan dari lain-lain negeri di bawah Pakatan Rakyat.


Kerisauan masyarakat Islam di P.Pinang sebelum ini telah mula terhakis apabila Lim Guan Eng turut prihatin dengan permasalahan umat Islam di P.Pinang. Sebaik sahaja beliau dilantik sebagai Ketua Menteri, kawasan pertama yang beliau lawati adalah kawasan majoriti penduduk Melayu dan Islam. Beliau turut mengumumkan kenaikan elaun Guru KAFA di P.Pinang.


Baru-baru ini paling menakjubkan apabila sebuah daerah di P.Pinang iaitu kawasan Penanti telah dirancang untuk dibangunkan sebagai `Serambi Mekah' di P.Pinang.


Mungkin tidak ramai yang percaya di bawah pemimpin Cina akan wujud satu daerah yang bercirikan Islam. Keprihatinan Lim Guan Eng terhadap masyarakat Melayu dan Islam di P.Pinang menyebabkan UMNO P.Pinang tidak mampu lagi mendabik dada kononnya UMNO adalah pejuang Melayu Islam.


Dan hakikatnya memang pun UMNO bukanlah parti yang memperjuangkan kepentingan orang-orang Melayu apatah lagi untuk mendaulatkan Islam. UMNO juga tidak membuat apa-apa program untuk meningkatkan taraf sosio-ekonomi ahli-ahli UMNO sendiri kecuali hanyalah untuk segelintir ahli-ahli UMNO yang mmpunyai kedudukan diperingkat bahagian dan keatas. PERJUANGAN UMNO adalah untuk GOLONGAN ATASAN UMNO sahaja bukannya untuk rakyat biasa atau ahli-ahli UMNO yang tidak mempunyai apa-apa jawatan.


Saturday, April 10, 2010

Oleh Fazli Othman

BUKIT SENTOSA 10 Apr
Ketua Pemuda DAP Anthony Loke mendakwa Umno-Barisan Nasional sebenarnya yang cuba melaga-lagakan pakatan antara DAP, PAS dan KEADILAN supaya tidak boleh duduk bersama tetapi DAP komited kepada kerjasama Pakatan Rakyat untuk menghancurkan Barisan Nasional.

"Umno tuduh macam-macam kononnya di Pulau Pinang, orang Melayu dipinggirkan, dia tuduh orang Islam kononnya tidak ada tempat di dalam kerajaan negeri Pakatan Rakyat yang dipimpin oleh DAP dengan mengatakan DAP anti Islam,

"Pada tahun 2008 kita menang, kita naikkan peruntukan untuk Majlis Agama Islam daripada RM12 Juta kepada RM24 juta pada tahun 2009 dan tahun ini kita naikkan lagi kepada RM25 juta.


"Kita beri kenaikan gaji kepada guru KAFA, kita beri peruntukan kepada sekolah agama dan kita beri peruntukan untuk membina makmal sains di sebuah sekolah agama persendirian di Permatang Pauh dan Umno yang sudah memerintah 50 tahun pun tidak pernah buat.


"Kerajaan persekutuan di bawah Najib lebih teruk pengurusannya kerana tidak cukup hasil, bajet defisit semakin melebar dan kerajaan menggunakan sumber perjudian untuk menanggung belanjawan tersebut, inilah parti kononnya memperjuangkan agama, bangsa dan negara.


"Semasa disoal di dalam Parlimen tentang mengapa perjudian ditambah, orang Umno tidak berani menjawab soalan saya dan tahun lepas apabila saya bertanya mengenai pendapatan daripada hasil nombor ekor sahaja, kementerian berkenaan berkata kerajaan mengaut keuntungan sebanyak RM1.2 bilion daripada kedai-kedai nombor empat ekor.


"Tahun ini dan tahun lepas tambah lagi pertaruhan, kerajaan membenarkan pula syarikat-syarikat perjudian ini melaksanakan 'special draw' iaitu hari cabutan khas yang menambah lagi hari perjudian daripada tiga kali kepada empat kali seminggu dan inilah cara kerajaan Umno untuk menambah hasil kerajaan persekutuan.


"Bila kita tanya di Parlimen, bukankah judi ini cukai haram dan cukai tersebut tidak boleh dimasukkan ke dalam akaun hasil yang disatukan negara dan mestilah diasingkan supaya bukan Islam boleh guna dan orang Islam tidak boleh menggunakannya.


"Apabila ditanya bagaimana cukai ini digunakan, kerajaan berkata kegunaan cukai tersebut untuk pembangunan negara, kebajikan sosial, sukan dan rumah ibadat dan ini boleh mendatangkan was-was kepada orang Islam," kesal Loke yang juga Ahli Parlimen Rasah.


Thursday, April 1, 2010

DAP LEBIH MEMAHAMI ISLAM VS UMNO

HARAKAH Dzulfikar Mashoor

KUALA LUMPUR, 23 Mac: “Kalau DAP (dan) Pakatan Rakyat dianggap ‘anti Islam’, maka Umno bolehlah dikatakan dua kali ganda ‘anti Islam’ kerana memberikan peruntukan yang jauh lebih sedikit waktu memerintah kerajaan negeri dulu,” kata Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.


Justeru, beliau menempelak dakwaan Umno bahawa DAP melaksanakan dasar ‘anti-Islam’ di Pulau Pinang apabila membacakan jumlah peruntukan kewangan yang diberikan oleh kerajaan negeri era Pakatan Rakyat berbanding Barisan Nasional untuk perkembangan Islam.


“Waktu kita ambil alih kerajaan (2008), kerajaan Umno beri peruntukan (sebanyak) RM12.5 juta untuk perkembangan Islam di Pulau Pinang, selepas kita memerintah (2009), kita naikkan pada RM20.5 juta,” jelas beliau yang juga Setiausaha Agung DAP di Dewan Rakyat pagi tadi.